Ahli MCA perlu sokong Ong, Dr Chua - Tun M
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ahli MCA perlu kembali bersatu dan memberi sokongan yang padu terhadap kepimpinan presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Menurut beliau, memandangkan kedua-dua pemimpin itu telah kembali bersama, maka pemimpin lain dan semua ahli parti harus memberikan sokongan demi kepentingan MCA.
"Soi Lek dan Tee Keat dah kembali bersama, yang lain sepatutnya menyokong di belakang dan beri sokongan," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama siri syarahan perdana mengenai Peranan Wanita dan Belia dalam Pembangunan Nasional di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai krisis kepimpinan yang terus melanda MCA apabila parti itu kini mempunyai 'dua' Timbalan Presiden selepas parti itu menerima keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Dr Chua kembali memegang jawatannya.
Manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai yang sebelum ini dilantik ke jawatan itu menggantikan Dr Chua menyatakan pendirian untuk mencabar keputusan ROS itu di mahkamah.
Liow berkata keputusan ROS itu melanggar perlembagaan parti kerana ROS tidak mempunyai hak mencampuri keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu apabila menolak resolusi ketiga supaya mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Dr Chua.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, perasaan tidak puas hati hanya akan merugikan MCA.
"Mereka perlu beri sokongan, tapi sekarang ada orang yang tak gembira, Tee Keat pula perlu ambil tindakan pecat orang, ini semua perkara yang tidak sihat.
"Dr Mahathir juga mengulangi nasihatnya kepada MCA agar parti itu tidak mengadakan EGM yang baru kerana perkara itu hanya menimbulkan perpecahan dalam parti.
"EGM tak akan selesaikan apa-apa, EGM hanya akan tentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah.
"Dan kebiasaannya, dalam setiap kes, yang kalah tidak akan sokong yang menang dan ia akan pecah belahkan parti... kita ada pengalaman itu dalam Umno," katanya.
Terdahulu dalam sesi soal jawab pada majlis berkenaan, Dr Mahathir berkata Umno perlu membuka ruang kepada generasi muda jika parti itu benar-benar mahukan melakukan perubahan.
Jelasnya perubahan tersebut perlu dilakukan terutamanya di peringkat pemimpin akar umbi.
"Saya fikir kepimpinan Umno mesti percaya bahawa Umno menjadi semakin kecil kerana pemimpin peringkat bawah sebenarnya menghalang orang untuk menyertai Umno.
"Jadi tak ada pembaharuan kerana pemimpin yang ada sekarang akan menjadi semakin tua dan akhirnya dikalangan mereka sahaja yang akan dipilih menjadi pemimpin kerana mereka sahaja yang ada untuk dipilih," katanya.
Tuesday, November 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment