Monday, November 16, 2009

EGM kedua tetap diadakan 28 November - Ka Siong

EGM kedua tetap diadakan 28 November - Ka Siong
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Kumpulan 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA hari ini menegaskan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kali kedua parti itu akan tetap diadakan mengikut jadual pada 28 November ini.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong mempertahankan pendirian pihaknya bahawa EGM merupakan hak perwakilan walaupun banyak pihak cuba menghalang dengan mencetuskan pelbagai kontroversi.
Tambahan pula, katanya, EGM itu sahih ekoran ia dibuat berdasarkan keputusan satu pertiga oleh CC.
"EGM ini bukan soal siapa yang akan digulingkan tetapi ia bertujuan menyemarakkan semangat ahli demi memulihkan integriti MCA. Kita hanya nak selamatkan parti, oleh itu kita perlu jelaskan perkara ini, ini soal prinsip.
"Saya merayu ahli-ahli jawatankuasa hadir pada EGM nanti, jangan kita panjangkan kemelut kepimpinan ini. Saya tidak hentam sesiapa cuma menekankan bahawa kita perlu beri perwakilan satu hak," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semalam selepas mempengerusikan taklimat khas kepimpinan tertinggi parti MCA bahawa sebarang keputusan CC menerusi EGM kedua minggu depan tidak akan diterima berikutan usul EGM itu tidak sah.
Semalam, kira-kira 70 peratus pemimpin bahagian MCA hadir pada taklimat itu yang bertujuan membincangkan kemelut dalaman parti selain menyokong Pelan Perpaduan Menyeluruh yang dibentangkan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Dalam taklimat tersebut, Tee Keat dan Soi Lek sependapat mereka tidak akan menghalang hasrat kumpulan 16 anggota CC parti yang ingin menjalankan EGM pada 28 November.
Namun pada masa sama, Soi Lek mendakwa, perwakilan yang hadir pada sesi taklimat berkenaan juga bersetuju untuk tidak akan hadir pada EGM itu.
Mengenai resolusi dalam EGM sama ada boleh diguna atau tidak berikutan ia bercanggah dengan perlembagaan MCA, Ka Siong berkata:
"Jika resolusi itu tidak boleh diguna atau dilaksanakan maka usul undi tidak percaya terhadap presiden parti, pada 10 Oktober lalu juga tidak boleh dilaksanakan."
Katanya, paling penting budaya hormat-menghormati terutama kepada perwakilan.
"Seandainya terdapat perkara yang tidak perlu dipatuhi daripada keputusan yang dibuat oleh perwakilan, maka tidak perlu diikuti.
"Tetapi apa yang saya nampak ialah pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan kontroversi untuk menghalang perwakilan daripada datang ke EGM, itu menyebabkan perwakilan tidak yakin dengan EGM tersebut," kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak semestinya EGM itu boleh membawa kepada perpecahan di dalam parti.
Oleh itu, katanya, semua ahli parti seharusnya bersikap rasional tanpa perlu membuat pelbagai andaian.
"Cuba lihat pada 10 Oktober lalu, saya bangga kerana EGM pada hari tersebut mendapat sambutan, ia bermakna EGM tidak mendatangkan sebarang masalah. Oleh itu biarlah perwakilan yang membuat pilihan," katanya.
Mengulas keputusan taklimat MCA semalam yang mahukan parti itu mengikut jejak UMNO meminda perlembagaan bagi membolehkan lebih ramai ahli akar umbi memilih kepimpinan tertinggi, Ka Siong berkata, itu bukan perkara mudah.
"Kita perlu berbalik kepada perkara asas, banyak lagi perkara yang perlu kita atasi.
"Apabila ada idea macam itu, kita kena lihat dari segi perinciannya pula, macam mana kita hendak buat, apa caranya, ia bukan perkara yang mudah kerana kita perlu perhalusi terlebih dahulu," ujarnya.

No comments: