Monday, August 25, 2008

Kibarkan Jalur Gemilang

Seminggu lagi rakyat Malaysia seluruh negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51.Tahun ini kerajaan memutuskan sekola menjadi sasaran kempen mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan. Sambutan tahun ini bertemakan'Perpaduan Teras Kejayaan'.
Sebagai tanda menyokong hasrat kerajaan dan membuktikan perasaan cintakan negara, setiap rumah kediaman dan premis perniagaan, sama ada di bandar atau luar bandar harus mengibarkan Jalur Gemilang.
Bagi generasi muda terutama pelajar, cara paling mudah untuk menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara ialah dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tidak kira di mana sahaja berada.
Menurut seorang Guru Besar,Encik Lim Leow Chee, Sek. Keb St. John(1) Kuala Lumpur, kempen kibar Jalur gemilang adalah satu daripada acara yang diadakan sepanjang sambutan itu kerana bendera kebangsaan adalah simbol kebanggaan dan kedaulatan negara.Katanya, pengibaran Jalur gemilang membuktikan semangat patriotik seluruh warga sekolah dan kesediaan mengkalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang telah menjadi lambang kemakmuran Malaysia sejak berpuluh tahun lalu.
Semantara itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee lam Thye, berkata pengibaran Jalur Gemilang mampu menterjemahkan semangat kasih dan cintakan negara. Katanya rakyat tidak harus terlalu bergantung kepada pihak lain untuk memberi sumbangan secara percuma Jalur gemilang sebaliknya sedia mengeluarkan sedikit wang untuk membeli bendera Malaysia dan mengibarnya di premis masing-masing.Kata Tan Sri Lee, salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme ialah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai Jalur Gemilang dengan menganjurkan Kempen Cintakan Bendera Kita di sekolah-sekolah.Kempen ini penting bagi memberi kefahaman kepada murid tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya seterusnya menjadikan warga yang prihatin dan sentiasa berusaha mengekalkan kemakmuran negara. Katanya semasa berucap merasmikan Kelab Pencegahan Jenayah dan Pelancaran Bulan kemerdekaan di sekoah tersebut baru-baru ini.
Tan Sri Lee berkata lagi, generasi muda perlu diingatkan bahawa Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan generasi terdahulu menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Justeru itu, buktikan semangat patriotik kita mulai sekarang dan tunjukkan kepada dunia bahawa kita berbangga dengan negara sendiri. Semangat itu hendaklah ditunjukkan secara menyeluruh di seluruh negara, bukan setakat di bandar besar. Semangat mengibarkan Jalur Gemilang adalah tanggungjawab setiap warga negara.
Jangan kibarkan bendera kerana terpaksa. Lakukannya kerana kita mencintai Malaysia.Selamat menyambut ulang Tahun Kemerdekaan ke-51. Merdeka!

No comments: